Pengikut

Mengenai Saya

Foto saya
Bangi, Selangor, Malaysia
Nama :Wan Nor Adila Bt Wan Hamzah, Pendidikan:Sarjana Muda Pengajian Islam (UKM), Email:wna_diela@yahoo.com, MOTTO BLOG: "AKIDAH LAMBANG KEPERIBADIAN UMMAH"

Selasa, 10 Ogos 2010






Isu pembuangan bayi telah lama diketengahkan oleh banyak pihak, namun begitu ianya semakin menjadi-jadi dalam masyarakat pada hari ini. Ada yang menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.

Gejala negatif inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masa kini. Maksiat dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa.Perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.

Jika dilihat, hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui. Dalam pada itu, kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi.

Lantaran itu, adakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman Jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Akan tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.

Sememangnya perbuatan membuang bayi ini jelas bertentangan dengan syariat Islam Islam dan Islam mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap suatu satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:

Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Oleh sebab itu,gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku kini menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya, terutamanya dalam kalangan remaja lelaki, juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya. Selain itu, kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Antara kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat secara langsung dengan isu-isu remaja secara langsung dan tidak langsung seperti pihak kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai, orang perseorangan dan lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati masalah remaja ini mempunyai hubungan kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku?. Inilah yang menjadi persoalannya sehingga hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan