Pengikut

Mengenai Saya

Foto saya
Bangi, Selangor, Malaysia
Nama :Wan Nor Adila Bt Wan Hamzah, Pendidikan:Sarjana Muda Pengajian Islam (UKM), Email:wna_diela@yahoo.com, MOTTO BLOG: "AKIDAH LAMBANG KEPERIBADIAN UMMAH"

Jumaat, 15 Oktober 2010


Salam...hari ini saya ingin berkongsi satu lagi kes pembuangan bayi yang berlaku pada
hari Jumaat baru-baru ini yang mana amat menyayat hati jika dilihat. Kejadian ini dipercayai berlaku di kawasan Kolej Segi, Damansara Kuala Lumpur dan dikatakan berkemungkinan pelajar daripada kolej tersebut yang melakukan pembuangan bayi tersebut. Bayi yang dibuang itu dipercayai bayi perempuan yang dibungkus dan dicampakkan berhampiran sungai.Bayi malang itu dijumpai oleh seorang penjala ikan kira-kira jam 10.30pagi.

Jumaat, 27 Ogos 2010

salam kasih kepada pembaca sekalian...

Bertemu kembali kita dalam luahan dan perkongsian melalui laman sesawang ini. Terasa agak lama saya tidak mencoretkan sebarang patah perkataan di ruangan blog saya ini kerana sibuk dengan tugasan sebagai seorang pelajar dengan "assignment" dan "proposal", namun Alhamdulillah pada hari ini saya meluangkan masa untuk mencoretkan sepatah dua kata mengenai isu yang saya bangkitkan dalam ruangan blog saya ini.

Semakin hari, semakin menjadi-jadi jenayah pembuangan bayi. Agak tersentuh hati saya melihat keadaan bayi yang dibuang di dalam sungai baru-baru ini dengan tali pusat yang masih ada, apakah dosa jasad itu yang tidak mempunyai dosa malah menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia yang bertopengkan syaitan. Terlintas di fikiran saya apakah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai perasaan? atau sanggup melakukan jenayah ini semata-mata menutup keaiban? sesungguhnya walaupun mereka terlepas di dunia ini,di akhirat kelak tunggulah balasan daripada Allah yang sememangnya adil dan setimpal dengan perbuatan individu-individu yang durjana ini.

Sememangnya jenayah pembuangan bayi ini boleh kita tangani bersama-sama dengan mengawal nafsu kita bersama. Oleh kerana nafsulah, segelintir masyarakat pada hari ini hanyut sehingga melakukan persetubuhan haram sehingga membenihkan zuriat di luar nikah yang sememangnya betentangan dengan Islam. Bercerita mengenai maksiat ini, memang tidak ada kesudahannya kerana umat Islam kini tidak menghiraukan batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim. Melalui pengalaman saya, kawan sekolah menengan saya sewaktu di bangku sekolah, pernah terlanjur dengan kekasihnya dan akhirnya memusnahkan masa depannya kerana mengadungkan zuriat di luar nikah. Selain itu,saya juga ingin kongsikan cerita akibat "nafsu" telah membawa kepada kesesatan dan kemusnahan. Kisah benar ini berlaku di daerah kampung saya, seorang lelaki yang bergelar 'ayah' tidak perlu rasanya saya menyebut nama di sini dikhuatiri menimbulkan keaiban, sejak penceraian dengan isterinya si Ayah telah membawa anak perempuannya tinggal bersamanya ketika masih berusia belasan tahun. Hari demi hari kehidupan si Ayah adalah bersama anak perempuannya. Namun begitu, akibat tiada iman di dada yang dapat mengahalang nafsu syaitan, akhirnya si Ayah ini sanggup memakan 'anak sendiri' tanpa pengetahuan dari pihak keluarga dan bekas isterinya. Perbuatan terkutuk itu dilakukan sehingga anak perempuannya meningkat dewasa. Namun begitu apa yang pelik disini, anak perempuan si Ayah itu tidak pernah melaporkan perbuatan terkutuk ayahnya itu kepada sesiapa malah menyimpan dan terus dengan kehidupan yang bergelumang dosa itu akibat sayang terhadap ayahnya itu. Namun bagitu, disangkakan panas sampai ke petang, akhirnya hujan di tengah hari, anak perempuan itu dihebohkan dengan berita mengadungkan zuriat bapanya sendiri. Lantaran itu, terdapat individu yang melaporkan kes berkenaan kepada pihak jabatan agama Islam. Akan tetapi,pihak tersebut tidak sempat menjatuhkan hukuman kepada si Ayah itu, kerana dengan pantas si Ayah melarikan diri bersama anak perempuannya ke Kuala Lumpur.

Berita tersebut akhirnya menjadi senyap tiba-tiba setelah kepergian si ayah dan si anak itu. Setelah bertahun lamanya, baru-baru ini si Ayah bersama si anak perempuannya pulang ke kampung halaman dan disangkakan barangkali sudah bertaubat dengan kesalahan mereka dahulu, namun apa yang mengejutkan di samping mereka kelihatan dua orang kanak-kanak yang telah menimbulkan tanda tanya orang ramai. Setelah di siasat oleh pihak keluarga mereka, apa yang mengejutkan ialah, dua orang kanak-kanak itu adalah hasil dari hubungan si Ayah dengan si anak perempuannya itu. Astaghfirullah hal azim, sungguh menjijikkan, namun apalah nasib kanak-kanak itu? mereka tidak berdosa dan jijik malah orang yang bertanggungjawab ialah si Ayah dan si anak itu yang tidak merasakan bersalah dengan perbuatan terkutuk mereka itu.

Apabila mengetahui perkara tersebut, seorang individu yang tidak dikenali telah melaporkan kepada pihak yang berwajib. Apa yang dikesali, pihak keluarga hanya menutup mulut sahaja tanpa menghiraukan, sungguh tidak patut. Setelah berita itu diketahui oleh pihak jabatan Agama, mereka bergegas memburu kedua-dua pesalah itu, namun ternyata mereka (pesalah)telah berjaya menyembunyikan diri sehingga hari ini. Apa yang saya ingin katakan di sini kenapakah perkara sedemikian boleh terjadi? adakah disebabkan diri sendiri atau latar belakang keluarga? Mugkin kedua-dua sebab ini boleh diterima, disebabkan diri sendiri yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat dan hanya mengikut nafsu serta keluarga yang memandang remeh tentang isu berkenaan.

Kisah yang saya kongsikan ini sekadar untuk tatapan dan renungan kita bersama apakah yang telah berlaku dengan masyarakat kita pada hari ini. Hubungan haram ini bukan sahaja terdiri dari pasangan yang 'bercouple' malah terdapat juga hubungan kekeluargaan yang sememangnya haram di sisi agama Islam. oleh itu, marilah kita sama-sama membendung gejala ini agar jenayah pembuangan bayi ini tidak akan berlaku lagi di negara kita.

Selasa, 10 Ogos 2010






Isu pembuangan bayi telah lama diketengahkan oleh banyak pihak, namun begitu ianya semakin menjadi-jadi dalam masyarakat pada hari ini. Ada yang menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.

Gejala negatif inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masa kini. Maksiat dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa.Perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.

Jika dilihat, hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui. Dalam pada itu, kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi.

Lantaran itu, adakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman Jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Akan tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.

Sememangnya perbuatan membuang bayi ini jelas bertentangan dengan syariat Islam Islam dan Islam mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap suatu satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:

Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Oleh sebab itu,gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku kini menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya, terutamanya dalam kalangan remaja lelaki, juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya. Selain itu, kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Antara kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat secara langsung dengan isu-isu remaja secara langsung dan tidak langsung seperti pihak kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai, orang perseorangan dan lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati masalah remaja ini mempunyai hubungan kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku?. Inilah yang menjadi persoalannya sehingga hari ini.